Asal teori elektromagnet Keelektromagnetan

Ahli sains William Gilbert, dalam karyanya De Magnete pada tahun 1600, mencadangkan bahawa elektrik dan magnetisme merupakan dua fenomena yang berbeza walaupun kedua-dua ini berupaya menarik dan menolak objek-objek. Pelaut-pelaut perasan bahawa kilat berupaya mengganggu jarum kompas, tetapi perkaitan antara kilat dengan elektrik tidaklah disahkan sehingga uji kaji yang dicadangkan oleh Benjamin Franklin pada tahun 1752. Salah seorang pertama yang menemui dan menerbitkan perkaitan antara arus elektrik buatan dan magnetisme ialah Romagnosi. Pada tahun 1802, beliau mendapati bahawa sebatang jarum kompas yang berhampiran akan memesong jika cerucuk voltan disambung dengan wayar. Bagaimanapun, kesan ini tidak diketahui secara meluas sehingga tahun 1820, ketika Hans Christian Ørsted melaksanakan uji kaji yang serupa. Usaha Ørsted kemudiannya mempengaruhi Andre-Marie Ampere untuk menghasilkan sebuah teori elektromagnetisme berasaskan matematik.

Teori elektromagnetisme yang tepat, dikenali sebagai elektromagnetisme klasik, diperkembangkan oleh pelbagai ahli fizik pada sepanjang abad ke-19, dan memuncak ketika James Clerk Maxwell menyatukan kesemua perkembangan dahulu menjadi sebuah teori yang tunggal, dan menemui sifat elektromagnet untuk cahaya. Dalam bidang elektromagnetisme klasik, medan elektromagnet mematuhi satu set persamaan yang dikenali sebagai persamaan Maxwell, dengan daya elektromagnetnya dibekalkan oleh hukum daya Lorentz.

Salah satu sifat aneh bagi elektromagnetisme klasik adalah bahawa bidang ini amat susah untuk diselaraskan dengan mekanik klasik. Sebaliknya, elektromagnetisme klasik adalah serasi dengan kerelatifan khas. Menurut persamaan Maxwell, kelajuan cahaya ialah satu pemalar semesta yang hanya bergantung kepada ketelusan elektrik dan kebolehtelapan magnet untuk vakumnya. Ini mencabuli ketakvarianan Galilei yang merupakan asas yang lama bagi mekanik klasik. Salah satu cara untuk menyeleraskan kedua-dua teori ini adalah untuk menganggap bahawa adanya sejenis ether yang membenarkan cahaya melintas. Bagaimanapun, usaha-usaha uji kaji yang kemudian gagal untut mengesan sebarang ether itu.

Pada tahun 1905, Albert Einstein mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan kerelatifan khas yang menggantikan kinematik klasik dengan sebuah teori kinematik moden yang serasi dengan elektromagnetisme klasik. Selain itu, teori kerelatifan menunjukkan bahawa bagi kerangka rujukan yang bergerak, sebuah medan magnet akan berubah menjadi medan yang mempunyai komponen elektrik bukan sifar, dan sebaliknya. Oleh sebab ini membuktikan bahawa elektrik dan magnetisme merupakan dua belah untuk duit syiling yang sama, istilah Electromagnetisme telah dicipta.